Sunday 22 July 2012

Cinta Dalam Hati

Sekali pandang seolah-olah tiada apa, tetapi hati seperti ingin menyatakan sesuatu tentang apa yang dipandang. Quratul Iman seindah nama secantik rupa, merupakan pelajar tingkatan 4 di sebuah Sekolah Menengah Agama. Dia seorang yang pendiam dan mudah terpengaruh dengan kawan. Akibat pengaruh kawan-kawan, pelbagai aktiviti yang melanggar peraturan telah dilakukan olehnya sehingga rotan Penolong HEP pun di pernah merasa.

Naufal, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan telah menyimpan hati kepadanya. Pada mulanya, Iman tidak menghiraukan Naufal sehingga pada suatu hari Naufal mendapat nombor telefon Iman dari sahabatnya. Bermula saat itu, Naufal selalu mengirimkan mesej yang agak sastera untuk memikat hati Iman tetapi gagal. Pelbagai cara dicuba oleh Naufal untuk menarik perhatian Iman, usaha tersebut tidak menjadi penghalang walaupun berlainan sekolah.

Usaha Naufal seterusnya ialah datang beraya ke rumah Iman bersama rakan sekelas Iman, Hasfan dan juga rakan Naufal sendiri Aiman. Iman dengan rasa selamba menjemput mereka masuk, tanpa diduga mata Iman tertumpu pada rakan Naufal, Aiman. Wajah bersih, sedap mata memandang tetapi kelihatan agak sombong mungkin juga pendiam. Perasaan ingin mengenali semakin menebal tetapi Iman masih mampu mengawal perasaan tersebut.

2 tahun sudah berlalu, Naufal kecewa dengan perasaan yang tidak berbalas. Iman mendapat tawaran di sebuah IPTA tempatan dalam kos Teknologi Maklumat manakala Naufal pula membantu abangnya dalam menguruskan syarikat milik abangnya. Haluan mereka masing-masing berbeza, Iman masih perlu mengejar cita-citanya.

Pada hari pertama kuliah, Iman terpandang kelibat seorang yang sangat dikenali. Iman mengekori kelibat tersebut sehingga sampai ke bilik kuliahnya, rupa-rupanya mereka satu kuliah. Iman sangat mengenali kelibat tersebut dan dia adalah Aiman mungkin juga cinta pandang pertamanya. Sejak hari itu, Iman sering mengamati gerak geri Aiman tanpa disedari oleh Aiman.

Bersambung......

-Adaptasi kisah benar-

Sunday 24 June 2012

Sebuah Penghijrahan Seorang Muslimah...


"Menyesal kemudian tiada gunanya" itulah pepatah yang sesuai diberikan untuk seorang muslimah nie..dia merupakan anak didikan sebuah sekolah agama, tetapi dia tidak pernah memanfaatkan ilmu yang telah diperoleh..KENAPA?mungkin tiada kesedaran dalam hatinya, tambahan pula dia masuk ke sekolah agama tersebut tanpa kerelaan hati. Setelah tamat persekolahan, dia tidak menerima tawaran kolej ISLAM, katanya, "dah jemu pakai tudung labuh laa.." antara alasan lain adalah tidak mahu berjauhan dengan keluarga, itu merupakan satu niat baik dihatinya.

Tanpa disedari, dia telah meninggalkan sedikit demi sedikit didikan yang telah dipelajarinya di sekolah dulu. Penampilannya mula berubah, tudung tidak selabuh dulu, sarung kakinya ditinggalkan. Antara hal yang baik padanya adalah pakaiannya tetap longgar dan tidak menjolok mata. Dia terlalu taksub dengan kejutan budaya terhadapnya sehingga dia lalai, meninggalkan solat dan tidak membaca al-Quran namun pergaulannya tetap terbatas. Dia lupa kepada Allah yang telah memberi nikmat kepadanya.

Sehingga suatu hari, hatinya terdetik "kenapa aku jadi macam nie??". Air matanya mengalir tanpa disedari, mengenangkan dosa-dosa yang telah dilakukan olehnya. Namun tiada guna hanya menangis, bertaubatlah wahai muslimah Allah sentiasa mengampunkan dosa-dosa hambanya. Perubahannya ke arah kebaikan tidak dapat dilakukan secara drastik, takut nanti hanya hangat-hangat tahi ayam saja. Dia mula memakai sarung kakinya semula yang telah lama tersimpan di dalam almari, mengasingkan baju-bajunya yang jarang apabila menembusi cahaya, malabuhkan semula tudungnya sedikit demi sedikit.

Bila difikirkan semula, apa yang terjadi semua ada hikmahnya. Peristiwa nie telah membuatnya lebih menghargai setiap ilmu yang diperoleh dan beramal dengannya. Tidak mudah untuk kita berubah dengan keadaan sekeliling kita, perlu kuat menghadapi setiap ujian yang diberikan. Wahai muslimah, redhalah dengan ketentuanNya. Sesungguhnya kau adalah insan yang terpilih untuk mendapat hidayahnya, sedangkan orang lain masih berusaha untuk mendapatkannya. Wallahu'alam.

Jazaakallahukhairan...

Sunday 18 March 2012

Syahid Syuhada Dan Kedudukan Mereka..

 
Sebahagian kalangan masyarakat meyakini bahawa orang yang mati syahid adalah orang yang terbunuh dalam suatu peperangan dalam rangka membela agama Allah dan tanah air sahaja tetapi yang tepat jalan untuk mati syahid sangat banyak selain berperang di jalan Allah. Berikut adalah nasihat Rasulullah SAW kepada islam mengenai siapakah syahid syuhada itu?

Dalam kitab Shanin Bukhari dan Muslim, Abu Hurairah r.a. meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : “Yang disebut syahid syuhada itu ada lima iaitu orang-orang yang meninggal kerana sakit perut, orang-orang yang meninggal kerana dirasuk jin, orang lemas, orang yang tertimbus dalam runtuhan dan orang yang meninggal di jalan Allah.”

Sebagaimana dalam kitab al-Muwaththa (jilid I) yang diriwayatkan oleh Yahya al-Laitsi dan yang lainnya juga bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : “Syahid syuhada itu ada tujuh selain orang yang meninggal di jalan Allah iaitu orang yang dirasuk jin adalah syahid, orang yang lemasa adalah syahid, orang yang mati kerana radang paru-paru adalah syahid, orang yang mati kerana sakit perut adalah syahid, orang yang mati kerfana terbakar adalah syahid, orang yang mati kerana tertimbus dalam runtuhan adalah syahid dan wanita yang mati ketika melahirkan adalah syahid.”

Ada yang menjelaskan bahawa orang yang dimaksudkan dengan wanita tersebut adalah seorang ibu yang meninggal kerana melahirkan sementara anaknya sudah melalui tahap penciptaan dalam perutnya. Ada juga yang berpendapat jika seorang ibu meninggal masih dalam nifas maka termasuk syahid baik setelah melahirkan atau meninggal sementara anaknya masih dalam perut.

Anas bin Malik r.a. meriwayatkan Rasulullah SAW pernah menasihatiku seperti berikut : “Anakku jika memang engkau boleh berwudhuk setiap saat, lakukanlah. Hal itu kerana jika malaikat maut mencabut nyawa seorang hamba dalam keadaan berwudhuk maka akan dicatat sebagai orang yang mati syahid.” Abu Hurairah r.a. dan Abu Dzar r.a. pernah meriwayatkan juga bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Jika malaikat maut datang kepada seorang penuntut ilmu maka dia termasuk orang yang mati syahid.” Demikianlah orang-orang yang termasuk syahid syuhada dan mereka akan menerima pahala yang sangat besar dari Allah.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda : “Orang yang mati syahid akan mendapat pahala dari sisi Allah iaitu dosanya akan diampuni sejak titisan pertama darahnya, diperlihatkan tempatnya di syurga, dijauhkan dari seksaan kubur, diberi rasa tenang saat hari Kiamat dating, dikenakan pakaian keimanan, dinikahkan dengan wanita-wanita yang cantik dan akan memberi syafaat tujuh puluh sanak saudaranya.”

Ya Allah, semoga Engkau berkenan mencabut nyawa kami sebagai orang yang mati syahid. Semoga Engkau juga berkenan mengurniakan kami pahala seperti pahala syahid syuhada dan berikanlah kami kesempatan untuk mati dalam keadaan syahid.

Sunday 4 March 2012

Seksa Bagi Yang Meninggalkan Sembahyang 5 Waktu

Sembahyang 5 waktu adalah kewajiban yang telah difardhukan ke atas semua umat islam. Sembahyang itu adalah salah satu Rukun Islam yang ke-5 dan sebagai tiang agama, sebagaimana telah dijelaskan oleh Nabi SAW dengan sabdanya.


"Sembahyang itu adalah tiang agama. Maka sesiapa yang mendirikannya, sesungguhnya ia menegakkan agamanya dan sesiapa yang meninggalkannya, ia telah merobohkan agamanya."

Kita akan dapat kenal islam seseorang itu melalui sembahyangnya, pakaiannya dan bahasanya sebagaimana sabda Nabi SAW :

“tiada perbezaan seorang muslim dengan munafiq melainkan dengan peninggalan sembahyang. Maka apabila pula seseorang meninggalkan sembahyang dengan ingkar kepada kewajiban atasnya, maka ia adalah kafir.”

Menurut sabda Nabi SAW lagi :

“Siapa-siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka sesungguhnya adalah ia kafir yang nyata.”

Berdasarkan kepada hadis tersebut, sebahagian berpendapat bilamana seseorang yang mengaku menganut Islam sedang sejak muda hingga tuanya padahal dia tidak pernah mengerjakan sembahyang kemudian ia mati. Maka sebahagian ulama’ menfatwakan tidak wajib sembahyangkan jenazahnya dan ada pula yang menyatakan bahawa adalah haram menyembahyangkannya.

Adapun seksa dan azab bagi orang yang melalaikan dan meninggalkan sembahyang itu adalah sebagaimana sabda Nabi SAW :

“Barang siapa meringan-ringankan dan melalaikan sembahyang lima waktu yang difardhukan, diseksa oleh Allah dengan lima belas jenis dosa. Enam seksa sewaktu di dunia (ketika hayatnya), tiga seksa sewaktu hampir ajalnya, tiga seksa selama di kuburnya dan tiga seksa sewaktu berjumpa kelak dengan Allah di hari berbangkit.”

Para sahabat bertanyakan apakah seksa yang didapatinya semasa di dunia, jawab Nabi SAW:
  1. Hilang berkat umurnya (hidupnya cuma dengan kekosongan, walaupun kelihatan hidupnya mewah, kemewahannya itu hanya istidraj belaka)
  2. Hilang keberkatan rezekinya (rezekinya terbuang kepada yang sia-sia belaka, walaupun ia kaya-raya tetapi kekayaannya itu menjadi laknat baginya).
  3. Mukanya dihilangkan tanda orang soleh.
  4. Tidak diakui ia masuk golongan islam (ia termasuk kepada golongan munafiq, zahirnya sahaja islam tetapi batinnya munafiq).
  5. Segala amal baik yang dikerjakannya (sedekahnya dan lain-lain) tidak memperolehi pahala.
  6. Doanya tertolak.
Kemudian bertanya lagi para sahabat, “Ya Rasulullah, apa pula seksa yang akan diterimanya sewaktu hampir ajalnya?”

Jawab Rasulullah SAW :
  1. Matinya dalam kehinaan (pencabutan rohnya dengan tidak ada belas kasihan).
  2. Matinya dalam kelaparan (maksud kelaparan di sini bukan kerana tiada makanan tetapi nafsunya tiada lagi, perut lapar tetapi tidak dapat memakan sesuatupun kerana hebatnya sakit sewaktu rohnya akan keluar).
  3. Matinya juga dalam dahaga (walaupun diminumkan air yang ada di dunia ke mulutnya sekalipun, tidak akan dapat menghilangkan dahaganya
Kemudian bertanya lagi sahabat-sahabat, “Ya Rasulullah, apa pula seksa yang akan diterimanya kelak di dalam kubur?”.

Jawab Rasullah SAW :

“Disempitkan kuburnya, digelapkan kuburnya dan diperintahkan Allah beberapa malaikat ke kuburnya untuk menyeksa si mati hingga ke hari kiamat dengan tiada henti-henti.”

Ada riwayat yang menjelaskan bahawa kepada orang yang meninggalkan sembahyang, akan Allah suruh seekor ular besar saja’ul akra namanya. Mata ular itu daripada api, sedangkan tangan dan kukunya daripada besi dan membawa alat pemukul daripada besi yang berat. Ia akan berkata kepada si mati itu dengan suaranya yang bagai halilintar, katanya “Aku disuruh Tuhanku untuk memukul engkau sebab engkau meninggalkan fardhu Subuh sehingga waktu Zohor, kemudian dari Zohor ke Asar, dari Asar ke Maghrib, dari maghrib ke Isya’ dan dari waktu Isya’ hingga Subuh", lalu saja’ul akra itu memukul si mati, setiap kali dipukul lenyap terbenam ke bumi sedalam beberapa ratus hasta. Kemudian dikeluarkannya dengan kuku besinya itu lalu bertanya seperti permulaan dan dipukul lagi dengan hebat dan dasyatnya sekali. Demikianlah terus menerus, hari demi hari sehingga hari kiamat dan hari berbangkit kelak.

Manakala seksa ketika bertemu dengan Tuhannya di Hari Kiamat kelak pula, datanglah seorang malaikat yang menyeksanya yang ada padanya rantai panjang. Rantai itu diikatkan ke leher orang yang meninggalkan sembahyang itu seraya dimasukkan ke mulutnya dan keluar melalui duburnya. Kemudian ia ditarik-tarik dan disentap-sentapkan, malaikat yang menghelanya itu berteriak berkata : “Inilah balasan bagi orang yang meninggalkan sembahyang yang difardhukan.” Kemudian ia ditarik dan dihumbankan ke dalam Neraka Jahannam yang bernama saqar.

Firman Allah, dengan cara menghina (istihzaak) :

Maksudnya : “Kata Allah, apakah yang menyebabkan kamu masuk Neraka Saqar ini? Kata mereka (penghuni dengan rasa sedih dan kesal), adalah kami ini orang-orang yang meninggalkan sembahyang.” (surah al-Muddassir, ayat 42-43)

Kedua dari seksanya kelak ialah, tidaklah Allah mengampuninya dan azab yang pedih bagi mereka yang meninggalkan sembahyang.

Ketiga, sewaktu di Hari Berbangkit kelak Allah tidak menaruh rahmat serta belas kasihan kepadanya.
Hadis Nabi SAW ada menyatakan, sabdanya yang bermaksud :

“Bermula orang yang meninggalkan sembahyang padahal ianya dalam kesihatan, maka Allah tidak memandang kepadanya dengan pandangan rahmat dan baginya kelak azab yang amat pedih melainkan ia bertaubat dari perbuatannya itu.”

Menurut salah satu riwayat dari Anas r.a. bahawasanya tatkala hampirnya wafat junjungan kita Nabi Muhammad SAW, baginda masih berwasiat agar umatnya jangan meninggalkan sembahyang yang difardhukan.

Rasulullah SAW pernah bersabda :

“Apabila seseorang hamba Allah meninggalkan satu fardhu sahaja (dari sembahyangnya), dituliskan namanya di pintu Neraka.”

Baik juga rasanya jika dikemukakan satu cerita yang terjadi pada zaman Khalifah Abu Bakar, bagaimana hebatnya terjadi terhadap seorang mayat yang salah satu sebab ianya terseksa adalah kerana meninggalkan sembahyang.

Ada seorang penduduk pada zaman Khalifah Abu Bakar meninggal dunia. Setelah dimandikan dan dikapani kemudian diletakkan di sudut rumah dengan maksud hendak disembahyangkan. Apabila yang hadir telah bersaf-saf hendak memulakan sembahyang mayat itu, tiba-tiba kapan si mati nampak bergerak-gerak sehingga mereka yang berada di samping mayat itu takjub dan kehairanan melihatnya. Mereka sama serentak saling berbisik dan bertanya, semua menyangka bahawa si mayat hidup kembali.

Salah seorang daripada mereka maju ke hadapan dan menguraikan ikatan kapannya sambil yang lain-lain sama mendekati jenazah itu. Alangkah terperanjatnya mereka apabila kapan si mayat sudah terbuka, dilihat mayat masih tetap mayat tetapi dalam kapan diselubungi seekor ular pada mayat tersebut seraya menggigit seluruh tubuh si mayat. Serentak mereka di sana mengambil kayu untuk memukul ular tersebut. Belum sempat mereka mendapatkan kayu itu, sang ular lantas berkata dengan fasihnya : “Asyhadu allaa ilaaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Apakah sebabnya kamu hendak membunuh aku. Aku tidak bersalah dan menyakiti kamu. Aku hanya menjalankan perintah Allah menyeksa mayat ini. Aku disuruh menggigitnya dan menyeksa hingga ke Hari Kiamat.”

Orang ramai berasa hairan lalu bertanya : “Apakah sebabnya engkau disuruh menyeksa mayat saudara kami ini? Apakah dosa dan kesalahan mayayt ini?” Jawab ular itu : “Mayat ini selama hayatnya berbuat tiga macam kesalahan yang menyebabkannya diseksa. Pertama, ia mendengar azan tetapi tidak dihiraukan dan tidak pergi menunaikan solat dengan berjemaah. Kedua, ianya enggan mengeluarkan zakat hartanya. Dan ketiga, ia tidak mahu mendengar nasihat baik daripada para alim ulama. Maka oleh itulah ianya diseksa sedemikian rupa.”

Demikianlah menurut kisahnya yang terjadi pada zaman itu. Harap menjadi perhatian kita hendaknya.
Sembahyang adalah suatu ibadat yang istimewa di mana jika kita menunaikannya boleh membersihkan dosa-dosa kita yang dilakukan dengan tidak sengaja dan yang kita tidak ketahui, sesuai dengan sabda junjungan kita :

“perumpamaan sembahyang lima waktu (difardhukan) itu adalah seumpama satu sungai yang mengalir di hadapan rumah kamu, dan kamu mandi padanya lima kali sehari (dengan demikianlah) apakah ada lagi daki-daki yang tinggal di badan? Jawab para sahabat : ‘Tentu tidak Ya Rasulullah!’”

Sabda Nabi lagi : “demikianlah sembahyang lima waktu itu menghapuskan segala dosa-dosa.”

Sesuai dengan firman Allah di dalam Al-Quran :

Maksudnya : “Dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu menegah (menjauhkan) manusia dari perbuatan kotor, keji dan mungkar.” (surah al-Ankabut, sebahagian ayat 45)

Besar sungguh faedah sembahyang itu dan sungguh besar pahala yang akan diterima bagi orang-orang yang mengerjakan sembahyang itu dengan ikhlas dan sebenar-benar sebagaimana firman Allah :

Maksudnya : “Sesungguhnya menanglah orang-orang yang beriman, mereka khusyu’ dalam sembahyang.” (surah al-Mukminun, ayat 1-2)

Begitu pula menurut sebuah hadis Nabi SAW :

“Barangsiapa yang sembahyang dengan keikhlasan 40 hari dalam berjemaah dan tetap mendapat Takbiratul Ihram yang pertama dengan imamnya, tercatatlah dua kelepasan baginya. Satu kelepasan dari seksa Neraka dan satu lagi kelepasan dari sifat Munafiq.” (riwayat At-Tarmizi)

Dan sabda lagi Nabi SAW :

“Barangsiapa memelihara sembahyang lima waktu dengan sempurnanya dan pada waktunya, adalah baginya cahaya dan tanda pada Hari Kiamat dan barangsiapa mensia-siakannya, nescaya dikumpulkannya ia (kelak di Neraka) dengan Firaun dan Haman.” (riwayat Ahmad)

Oleh itu, marilah kita sama-sama menetapi dan menunaikan sembahyang yang difardhukan itu. Janganlah sesekali kita berani melalaikan pada waktunya apalagi terus meninggalkannya. Sepertimana yang sering dikemukakan oleh ahli-ahli kita iaitu : “bersegeralah dalam mengerjakan sembahyang sebelum selesai waktunya dan bersegeralah bertaubat sebelum tibanya ajal maut.”

Kelebihan Solat Sunat Tasbih

Solat tasbih merupakan salah satu daripada solat-solat sunat yang dituntut melakukannya kerana ganjaran pahala yang Allah SWT janjikan amatlah besar. Solat tasbih dinamakan bersempena dari amalan yang banyak bacaannya dengan bertasbih kepada Allah SWT. Tasbih bermaksud menyucikan dan mengakui kesucian Allah SWT dari segala sekutu atau sesuatu yang menyamai dengan Allah SWT. Dalam sembahyang sunat tasbih ini terdapat 300 kali jumlah tasbih kesemuanya.

Sabda Rasulullah SAW :

Dari ‘Akrimah meriwayatkan dari Ibnu Abbas berkata, telah bersabda Rasulullah SAW kepada Abbas bin Abdul Muthalib : “Wahai Abbas, wahai bapa saudaraku, sukakah saya berikan, saya anugerahkan, saya hadiahkan kepadamu. Sekiranya engkau kerjakan nescaya akan mendapat sepuluh keuntungan. Apabila engkau kerjakan nescaya Allah akan mengampuni segala dosamu yang terdahulu dan terkemudian, yang telah lama dilakukan atau baru dilakukan, yang disengajakan, yang kecil atau yang besar, yang tersembunyi atau nyata. Sepuluh keuntungan itu hendaklah engkau kerjakan sembahyang empat rakaat. Pada setiap rakaat itu engkau baca fatihah dan surah, apabila selesai engkau dari daripada membaca keduanya padahal engkau masih berdiri, bacalah Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akhbar sebanyak 15 kali. Kemudian rukuk, di dalamnya bacaan itu 10 kali, kemudian engkau angkat kepalamu daripada rukuk dan membaca tasbih sebanyak 10 kali. Kemudian turun sujud dan membacanya di dalam sujud 10 kali, kemudian angkat kepala dari sujud dan engkau membacanya 10 kali pada duduk, kemudian sujud yang kedua engkau bacanya 10 kali, kemudian di dalam istirehat(duduk selepas sujud kedua) atau sebelum bacaan tahiyyat engkau bacanya 10 kali, maka adalah yang sedemikian itu perhimpunan tasbih itu sebanyak 75 kali di dalam tiap-tiap satu rakaat. Maka engkau perbuatnya di dalam empat rakaat. Perbuatlah yang sedemikian itu setiap hari. Sekiranya engkau tidak mampu melakukannya setiap hari sekali, perbuatlah tiap-tiap jumaat sekali, jika tidak mampu perbuat setiap jumaat sekali, perbuatlah setiap bulan sekali, maka jika tidak mampu untuk memperbuatnya sebulan sekali, buatlah setiap tahun sekali, jika tidak mampu engkau dengan yang demikian itu, perbuatlah dalam seumur hidupmu sekali.” (Hadis riwayat Abu Daud, Tarmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

Dari hadis tersebut dapat kita fahamkan bahawa Allah telah menjanjikan pahala yang besar yang tidak terhitung nilainya. Di samping itu, Allah menjanjikan untuk menghapuskan dosa-dosa samada yang sudah lama atau baru dilakukan. Sebagai galakan Baginda SAW kepada umatnya, walaupun pada zahir lafaz hadis itu hanya hanyalah kepada bapa saudaranya Abbas, namu setiap perundangan hokum itu diumumkan kepada semua umat Baginda hingga ke akhir zaman. Dengan itu Baginda sangat menggalakkan supaya dilakukan sembahyang sunat tasbih seboleh-bolehnya setiap hari, kalau tidak mampu setiap hari, lakukan pada setiap jumaat dan begitulah berikutnya atau sekurang-kurangnya lakukan sekali dalam seumur hidup.

Tempat yang dibacakan tasbih

Bagi setiap rakaat dibacakan tasbih sebanyak 75 kali. Ianya dibaca pada kedudukan atau rukun tertentu sahaja. Solat sunat tasbih dilakukan sebanyak empat rakaat yang sama atau empat rakaat dua kali salam.
  1. 15 kali tasbih sebelum atau selepas bacaan fatihah dan surah
  2. 10 kali tasbih dalam rukuk
  3. 10 kali tasbih dalam iktidal
  4. 10 kali tasbih dalam sujud pertama
  5. 10 kali tasbih dalam duduk antara dua sujud
  6. 10 kali tasbih dalam sujud kedua
  7. 10 kali tasbih dalam istirehat (duduk selepas sujud kedua) atau sebelu baca tahiyyat
Bacaan tasbih dilakukan sebegini pada setiap empat rakaat yang seterusnya seperti yang dilakukan pada urutannya yang telah disebutkan. Jumlah kesemuanya 300 tasbih apabila dicampurkan keempat-empat rakaat tersebut. Jika tertinggal atau terlupa bacaan tasbih pada tempat yang ditetapkan ianya mestilah dicukupkan pada tempat yang akan datang.

Santapan Penghuni Neraka

1. Rasakan Zaqqum!

Itulah makanan dan santapan penghuni neraka. Sejenis pohon yang bukan sahaja buruk rupanya malah busuk baunya, pahit rasanya lagi menyakitkan. Firman Allah SWT : "(makanan syurga) itukah yang lebih baik atau pohon zaqqum? Sesungguhnya kami menjadikan pohon zaqqum itu untuk menjadikan fitnah (seksa) bagi orang-orang yang menganiaya diri sendiri (keranaenggan beriman). Zaqqum adalah pohon yang tumbuh di dasar neraka Jahim, buahnya besar bagaikan kepala-kepala syaitan. Sesungguhnya para penghuni neraka itu akan memakan buah zaqqum itu (secara terpaksa) sehingga penuh padatlah perut mereka. Kemudian setelah itu mereka disiram dengan minuman nanah yang dicampur air panas". (As-Saffat : 62-67)

2. Minuman yang mendidih!

Juadah menyantap juadah itu rupanya belum berkesudahan. Agar tidak tersedu dan tidak tersedak, penghuni neraka akan dihidangkan minuman yang amat menyakitkan. Firman Allah SWT : "Sesungguhnya kami telah menyediakan untuk orang yang menzalimi dirinya (kerana tidak mahu beriman) yang pagarnya mengelilingi mereka. Jikalu mereka meminta tolong kerana tersangat haus, lalu mereka ditolong dengan diberi air kentalbagaikan tembagayang dicairkan dan dapat menghanguskan muka. Alangkah buruknyaminuman itu dan alangkah buruknya tempat kembali (neraka itu)." (Al-Kahfi :29)

3. Persalinan api

Tubuh yang sudah memang tidak selesa itu bertambah seksa apabila disarungkan pakaianneraka yang membakar dan menghanguskan apa yang tersisa. Allah SWT berfirman :".....maka bagi orang-orang (tidak beriman) untuk mereka itu dibuatkan pakaian-pakaian  dari api neraka....".
(Al-Hajj : 19)

4. Siraman Azab

"Arrgggghhhhhh..." penghuni neraka terus melolong kesakitan bagaikan jeritan pilu sang himar dipukul tuannya. Firman Allah Azzawajalla "....dan disiramkan yang pana mendidih ke atas kepala mereka. Dengan air itu, hancur luluhlah segala apa yang ada di dalam dan  juga kulit mereka...."
(Al-Hajj : 19-20)

Allahuakbar! bayangkan saudaraku sekiranya tubuh kita dalam keadaan begitu. Selanjutnya Nabi SAW menjelaskan kita bagaimana siraman azab itu dalam sabdanya : "Sesungguhnya api neraka jahim itu akan dituangkan ke atas kepala-kepala penghuninya (orang kafir dan orang yang ingkar) hingga tercucurlah air panas itu ke dalam perutnya, kemudian tersayatlah segala apa yang ada di dalam perut itu sampai mengalir dari bawah kedua-dua tumitnya. Inilah yang disebutkan sebagai hancur luluh! seterusnya dikembalikan lagi sebagaimana keadaan sebelum (untuk diulang seperti itu lagi)".
(Riwayat At-Tirmizi)

5. Pukulan cemati

Malaikat-malaikat yang tegas menghentam penghuni neraka semahu-mahunya. Pukulan dan hentaman yang seiring dengan sindiran dan gema laungan yang menggerunkan. Firman Allah SWT ".....dan untuk mereka disediakan cemeti besi. Setiap kali mereka hendak keluar  dari dlamnya (neraka) kerana kesengsaraan (kesedihan) lalu (mereka) dikembalikan semula ke dalamnya dan (kepada mereka dikatan) : Rasakanlah oleh kamu sekalian seksa yang membakar ini". (Al-Hajj : 21-22)

6. Tilam neraka

Khabarnya, kepada penghuni neraka juga diberikan tilam untuk beradu dan meluruskan tulang. Tetapi tilam yang bagaimana? Firman Allah SWT : "Demikian kami memberikan pembalasa-pembalasan kepada orang-orang yang bersalah (berdosa). Mereka akan beroleh tempat tidur dari jahannam sedangkan dari atas mereka ada penutupnya dan begitulah kami membalas (perbuatan) orang-orang yang zalim". (Al-A'raf : 40-41)

Semoga dengan ingata-ingatan ini dapat melembutkan hati kita yang selama ini keras membatu dek dosa-dosa yang kita lakukan, samada dalam keadaan sedar atau tidak. Firman Allah SWT "Sesungguhnya pada yang demikian itu ada pengajaran (ikhtibar) bagi orang-orang yang takut (kepada Allah SWT dan seksanya)" (An-Naziat : 26)

Ganjaran Mengucapkan Salam

Rasulullah SAW telah bersabda : "Sebarkanlah salam di antara kamu" (diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Hurairah) dan ketika Rasulullah SAW ditanya oleh seorang lelaki : "Islam yang manakah yang lebih baik?" maka Rasulullah SAW menjawab : "Kamu memberikan makanan kepada orang lain dan kamu mengucapkan salam terhadap orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal." (diriwayatkan oleh Bukhari pada kitabul-iman dari Abdullah bin Umar).

Para sahabat Rasulullah SAW mencari untung pahala dan imbalan dari Allah dengan mengucapkan salam kerana mereka telah mendengar dari Rasulullah SAW bahawa orang yang mengucapkan Assalamualaikum akan mendapat ganjaran 10 pahal dan barang siapa yang menambah ucapan tersebut dengan warahmatullahi maka ia akan mendapat 20 pahala dan jika ia menambah lagi dengan ucapan wabarakatuh maka ia akan mendapat 30 pahala. Inilah untung dari perdagangan mereka, sungguh Allah Maha Pemurah.

Pernah dikisahkan bahawa Ibnu Umar pergi ke pasar yang ditemani oleh At-tufail bin Ubai bin Ka'ab bukan untuk apa-apa kecuali hanya untuk mengucapkan salam terhadap orang-orang yang ditemui, maka kemudian At-Tufail bertanya kepada beliau : "Apakah yang kamu lakukan di pasar ini? engkau tidak berbelanja dan tidak pula menawarkan sesuatu barang pun dan engkau tidak pula duduk-duduk di sebuah majlis, duduklah di sini agar kita boleh bercakap-cakap!". Maka Ibnu Umar menjawab : "Kita berangkat hanya untuk mengucapkan salam maka ucaplah salam kepada orang-orang yang engkau temui."

Walaupun demikian, kita menemukan bahawa kebanyakan dari kaum muslimin melengahkan dan melalaikan pentingnya dan fadhilat salam yang mana ia adalah tanda dan syariat Islam dan Iman. Allah SWT telah berfirman :

"..........dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang mengucapkan salam kepadamu : 'kamu bukanlah orang mukmin'." (Surah : An-Nisa, 94)
 
This Template Was Made & Design With Love By AisyaDoodles. All Right Reserved To Me.