Sabda Rasulullah SAW :
Dari ‘Akrimah meriwayatkan dari Ibnu Abbas berkata, telah bersabda Rasulullah SAW kepada Abbas bin Abdul Muthalib : “Wahai Abbas, wahai bapa saudaraku, sukakah saya berikan, saya anugerahkan, saya hadiahkan kepadamu. Sekiranya engkau kerjakan nescaya akan mendapat sepuluh keuntungan. Apabila engkau kerjakan nescaya Allah akan mengampuni segala dosamu yang terdahulu dan terkemudian, yang telah lama dilakukan atau baru dilakukan, yang disengajakan, yang kecil atau yang besar, yang tersembunyi atau nyata. Sepuluh keuntungan itu hendaklah engkau kerjakan sembahyang empat rakaat. Pada setiap rakaat itu engkau baca fatihah dan surah, apabila selesai engkau dari daripada membaca keduanya padahal engkau masih berdiri, bacalah Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akhbar sebanyak 15 kali. Kemudian rukuk, di dalamnya bacaan itu 10 kali, kemudian engkau angkat kepalamu daripada rukuk dan membaca tasbih sebanyak 10 kali. Kemudian turun sujud dan membacanya di dalam sujud 10 kali, kemudian angkat kepala dari sujud dan engkau membacanya 10 kali pada duduk, kemudian sujud yang kedua engkau bacanya 10 kali, kemudian di dalam istirehat(duduk selepas sujud kedua) atau sebelum bacaan tahiyyat engkau bacanya 10 kali, maka adalah yang sedemikian itu perhimpunan tasbih itu sebanyak 75 kali di dalam tiap-tiap satu rakaat. Maka engkau perbuatnya di dalam empat rakaat. Perbuatlah yang sedemikian itu setiap hari. Sekiranya engkau tidak mampu melakukannya setiap hari sekali, perbuatlah tiap-tiap jumaat sekali, jika tidak mampu perbuat setiap jumaat sekali, perbuatlah setiap bulan sekali, maka jika tidak mampu untuk memperbuatnya sebulan sekali, buatlah setiap tahun sekali, jika tidak mampu engkau dengan yang demikian itu, perbuatlah dalam seumur hidupmu sekali.” (Hadis riwayat Abu Daud, Tarmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)
Dari hadis tersebut dapat kita fahamkan bahawa Allah telah menjanjikan pahala yang besar yang tidak terhitung nilainya. Di samping itu, Allah menjanjikan untuk menghapuskan dosa-dosa samada yang sudah lama atau baru dilakukan. Sebagai galakan Baginda SAW kepada umatnya, walaupun pada zahir lafaz hadis itu hanya hanyalah kepada bapa saudaranya Abbas, namu setiap perundangan hokum itu diumumkan kepada semua umat Baginda hingga ke akhir zaman. Dengan itu Baginda sangat menggalakkan supaya dilakukan sembahyang sunat tasbih seboleh-bolehnya setiap hari, kalau tidak mampu setiap hari, lakukan pada setiap jumaat dan begitulah berikutnya atau sekurang-kurangnya lakukan sekali dalam seumur hidup.
Tempat yang dibacakan tasbih
Bagi setiap rakaat dibacakan tasbih sebanyak 75 kali. Ianya dibaca pada kedudukan atau rukun tertentu sahaja. Solat sunat tasbih dilakukan sebanyak empat rakaat yang sama atau empat rakaat dua kali salam.
- 15 kali tasbih sebelum atau selepas bacaan fatihah dan surah
- 10 kali tasbih dalam rukuk
- 10 kali tasbih dalam iktidal
- 10 kali tasbih dalam sujud pertama
- 10 kali tasbih dalam duduk antara dua sujud
- 10 kali tasbih dalam sujud kedua
- 10 kali tasbih dalam istirehat (duduk selepas sujud kedua) atau sebelu baca tahiyyat
Bacaan tasbih dilakukan sebegini pada setiap empat rakaat yang seterusnya seperti yang dilakukan pada urutannya yang telah disebutkan. Jumlah kesemuanya 300 tasbih apabila dicampurkan keempat-empat rakaat tersebut. Jika tertinggal atau terlupa bacaan tasbih pada tempat yang ditetapkan ianya mestilah dicukupkan pada tempat yang akan datang.
No comments:
Post a Comment