Sunday, 4 March 2012

Seksa Bagi Yang Meninggalkan Sembahyang 5 Waktu

Sembahyang 5 waktu adalah kewajiban yang telah difardhukan ke atas semua umat islam. Sembahyang itu adalah salah satu Rukun Islam yang ke-5 dan sebagai tiang agama, sebagaimana telah dijelaskan oleh Nabi SAW dengan sabdanya.


"Sembahyang itu adalah tiang agama. Maka sesiapa yang mendirikannya, sesungguhnya ia menegakkan agamanya dan sesiapa yang meninggalkannya, ia telah merobohkan agamanya."

Kita akan dapat kenal islam seseorang itu melalui sembahyangnya, pakaiannya dan bahasanya sebagaimana sabda Nabi SAW :

“tiada perbezaan seorang muslim dengan munafiq melainkan dengan peninggalan sembahyang. Maka apabila pula seseorang meninggalkan sembahyang dengan ingkar kepada kewajiban atasnya, maka ia adalah kafir.”

Menurut sabda Nabi SAW lagi :

“Siapa-siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka sesungguhnya adalah ia kafir yang nyata.”

Berdasarkan kepada hadis tersebut, sebahagian berpendapat bilamana seseorang yang mengaku menganut Islam sedang sejak muda hingga tuanya padahal dia tidak pernah mengerjakan sembahyang kemudian ia mati. Maka sebahagian ulama’ menfatwakan tidak wajib sembahyangkan jenazahnya dan ada pula yang menyatakan bahawa adalah haram menyembahyangkannya.

Adapun seksa dan azab bagi orang yang melalaikan dan meninggalkan sembahyang itu adalah sebagaimana sabda Nabi SAW :

“Barang siapa meringan-ringankan dan melalaikan sembahyang lima waktu yang difardhukan, diseksa oleh Allah dengan lima belas jenis dosa. Enam seksa sewaktu di dunia (ketika hayatnya), tiga seksa sewaktu hampir ajalnya, tiga seksa selama di kuburnya dan tiga seksa sewaktu berjumpa kelak dengan Allah di hari berbangkit.”

Para sahabat bertanyakan apakah seksa yang didapatinya semasa di dunia, jawab Nabi SAW:
  1. Hilang berkat umurnya (hidupnya cuma dengan kekosongan, walaupun kelihatan hidupnya mewah, kemewahannya itu hanya istidraj belaka)
  2. Hilang keberkatan rezekinya (rezekinya terbuang kepada yang sia-sia belaka, walaupun ia kaya-raya tetapi kekayaannya itu menjadi laknat baginya).
  3. Mukanya dihilangkan tanda orang soleh.
  4. Tidak diakui ia masuk golongan islam (ia termasuk kepada golongan munafiq, zahirnya sahaja islam tetapi batinnya munafiq).
  5. Segala amal baik yang dikerjakannya (sedekahnya dan lain-lain) tidak memperolehi pahala.
  6. Doanya tertolak.
Kemudian bertanya lagi para sahabat, “Ya Rasulullah, apa pula seksa yang akan diterimanya sewaktu hampir ajalnya?”

Jawab Rasulullah SAW :
  1. Matinya dalam kehinaan (pencabutan rohnya dengan tidak ada belas kasihan).
  2. Matinya dalam kelaparan (maksud kelaparan di sini bukan kerana tiada makanan tetapi nafsunya tiada lagi, perut lapar tetapi tidak dapat memakan sesuatupun kerana hebatnya sakit sewaktu rohnya akan keluar).
  3. Matinya juga dalam dahaga (walaupun diminumkan air yang ada di dunia ke mulutnya sekalipun, tidak akan dapat menghilangkan dahaganya
Kemudian bertanya lagi sahabat-sahabat, “Ya Rasulullah, apa pula seksa yang akan diterimanya kelak di dalam kubur?”.

Jawab Rasullah SAW :

“Disempitkan kuburnya, digelapkan kuburnya dan diperintahkan Allah beberapa malaikat ke kuburnya untuk menyeksa si mati hingga ke hari kiamat dengan tiada henti-henti.”

Ada riwayat yang menjelaskan bahawa kepada orang yang meninggalkan sembahyang, akan Allah suruh seekor ular besar saja’ul akra namanya. Mata ular itu daripada api, sedangkan tangan dan kukunya daripada besi dan membawa alat pemukul daripada besi yang berat. Ia akan berkata kepada si mati itu dengan suaranya yang bagai halilintar, katanya “Aku disuruh Tuhanku untuk memukul engkau sebab engkau meninggalkan fardhu Subuh sehingga waktu Zohor, kemudian dari Zohor ke Asar, dari Asar ke Maghrib, dari maghrib ke Isya’ dan dari waktu Isya’ hingga Subuh", lalu saja’ul akra itu memukul si mati, setiap kali dipukul lenyap terbenam ke bumi sedalam beberapa ratus hasta. Kemudian dikeluarkannya dengan kuku besinya itu lalu bertanya seperti permulaan dan dipukul lagi dengan hebat dan dasyatnya sekali. Demikianlah terus menerus, hari demi hari sehingga hari kiamat dan hari berbangkit kelak.

Manakala seksa ketika bertemu dengan Tuhannya di Hari Kiamat kelak pula, datanglah seorang malaikat yang menyeksanya yang ada padanya rantai panjang. Rantai itu diikatkan ke leher orang yang meninggalkan sembahyang itu seraya dimasukkan ke mulutnya dan keluar melalui duburnya. Kemudian ia ditarik-tarik dan disentap-sentapkan, malaikat yang menghelanya itu berteriak berkata : “Inilah balasan bagi orang yang meninggalkan sembahyang yang difardhukan.” Kemudian ia ditarik dan dihumbankan ke dalam Neraka Jahannam yang bernama saqar.

Firman Allah, dengan cara menghina (istihzaak) :

Maksudnya : “Kata Allah, apakah yang menyebabkan kamu masuk Neraka Saqar ini? Kata mereka (penghuni dengan rasa sedih dan kesal), adalah kami ini orang-orang yang meninggalkan sembahyang.” (surah al-Muddassir, ayat 42-43)

Kedua dari seksanya kelak ialah, tidaklah Allah mengampuninya dan azab yang pedih bagi mereka yang meninggalkan sembahyang.

Ketiga, sewaktu di Hari Berbangkit kelak Allah tidak menaruh rahmat serta belas kasihan kepadanya.
Hadis Nabi SAW ada menyatakan, sabdanya yang bermaksud :

“Bermula orang yang meninggalkan sembahyang padahal ianya dalam kesihatan, maka Allah tidak memandang kepadanya dengan pandangan rahmat dan baginya kelak azab yang amat pedih melainkan ia bertaubat dari perbuatannya itu.”

Menurut salah satu riwayat dari Anas r.a. bahawasanya tatkala hampirnya wafat junjungan kita Nabi Muhammad SAW, baginda masih berwasiat agar umatnya jangan meninggalkan sembahyang yang difardhukan.

Rasulullah SAW pernah bersabda :

“Apabila seseorang hamba Allah meninggalkan satu fardhu sahaja (dari sembahyangnya), dituliskan namanya di pintu Neraka.”

Baik juga rasanya jika dikemukakan satu cerita yang terjadi pada zaman Khalifah Abu Bakar, bagaimana hebatnya terjadi terhadap seorang mayat yang salah satu sebab ianya terseksa adalah kerana meninggalkan sembahyang.

Ada seorang penduduk pada zaman Khalifah Abu Bakar meninggal dunia. Setelah dimandikan dan dikapani kemudian diletakkan di sudut rumah dengan maksud hendak disembahyangkan. Apabila yang hadir telah bersaf-saf hendak memulakan sembahyang mayat itu, tiba-tiba kapan si mati nampak bergerak-gerak sehingga mereka yang berada di samping mayat itu takjub dan kehairanan melihatnya. Mereka sama serentak saling berbisik dan bertanya, semua menyangka bahawa si mayat hidup kembali.

Salah seorang daripada mereka maju ke hadapan dan menguraikan ikatan kapannya sambil yang lain-lain sama mendekati jenazah itu. Alangkah terperanjatnya mereka apabila kapan si mayat sudah terbuka, dilihat mayat masih tetap mayat tetapi dalam kapan diselubungi seekor ular pada mayat tersebut seraya menggigit seluruh tubuh si mayat. Serentak mereka di sana mengambil kayu untuk memukul ular tersebut. Belum sempat mereka mendapatkan kayu itu, sang ular lantas berkata dengan fasihnya : “Asyhadu allaa ilaaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Apakah sebabnya kamu hendak membunuh aku. Aku tidak bersalah dan menyakiti kamu. Aku hanya menjalankan perintah Allah menyeksa mayat ini. Aku disuruh menggigitnya dan menyeksa hingga ke Hari Kiamat.”

Orang ramai berasa hairan lalu bertanya : “Apakah sebabnya engkau disuruh menyeksa mayat saudara kami ini? Apakah dosa dan kesalahan mayayt ini?” Jawab ular itu : “Mayat ini selama hayatnya berbuat tiga macam kesalahan yang menyebabkannya diseksa. Pertama, ia mendengar azan tetapi tidak dihiraukan dan tidak pergi menunaikan solat dengan berjemaah. Kedua, ianya enggan mengeluarkan zakat hartanya. Dan ketiga, ia tidak mahu mendengar nasihat baik daripada para alim ulama. Maka oleh itulah ianya diseksa sedemikian rupa.”

Demikianlah menurut kisahnya yang terjadi pada zaman itu. Harap menjadi perhatian kita hendaknya.
Sembahyang adalah suatu ibadat yang istimewa di mana jika kita menunaikannya boleh membersihkan dosa-dosa kita yang dilakukan dengan tidak sengaja dan yang kita tidak ketahui, sesuai dengan sabda junjungan kita :

“perumpamaan sembahyang lima waktu (difardhukan) itu adalah seumpama satu sungai yang mengalir di hadapan rumah kamu, dan kamu mandi padanya lima kali sehari (dengan demikianlah) apakah ada lagi daki-daki yang tinggal di badan? Jawab para sahabat : ‘Tentu tidak Ya Rasulullah!’”

Sabda Nabi lagi : “demikianlah sembahyang lima waktu itu menghapuskan segala dosa-dosa.”

Sesuai dengan firman Allah di dalam Al-Quran :

Maksudnya : “Dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu menegah (menjauhkan) manusia dari perbuatan kotor, keji dan mungkar.” (surah al-Ankabut, sebahagian ayat 45)

Besar sungguh faedah sembahyang itu dan sungguh besar pahala yang akan diterima bagi orang-orang yang mengerjakan sembahyang itu dengan ikhlas dan sebenar-benar sebagaimana firman Allah :

Maksudnya : “Sesungguhnya menanglah orang-orang yang beriman, mereka khusyu’ dalam sembahyang.” (surah al-Mukminun, ayat 1-2)

Begitu pula menurut sebuah hadis Nabi SAW :

“Barangsiapa yang sembahyang dengan keikhlasan 40 hari dalam berjemaah dan tetap mendapat Takbiratul Ihram yang pertama dengan imamnya, tercatatlah dua kelepasan baginya. Satu kelepasan dari seksa Neraka dan satu lagi kelepasan dari sifat Munafiq.” (riwayat At-Tarmizi)

Dan sabda lagi Nabi SAW :

“Barangsiapa memelihara sembahyang lima waktu dengan sempurnanya dan pada waktunya, adalah baginya cahaya dan tanda pada Hari Kiamat dan barangsiapa mensia-siakannya, nescaya dikumpulkannya ia (kelak di Neraka) dengan Firaun dan Haman.” (riwayat Ahmad)

Oleh itu, marilah kita sama-sama menetapi dan menunaikan sembahyang yang difardhukan itu. Janganlah sesekali kita berani melalaikan pada waktunya apalagi terus meninggalkannya. Sepertimana yang sering dikemukakan oleh ahli-ahli kita iaitu : “bersegeralah dalam mengerjakan sembahyang sebelum selesai waktunya dan bersegeralah bertaubat sebelum tibanya ajal maut.”

No comments:

Post a Comment

 
This Template Was Made & Design With Love By AisyaDoodles. All Right Reserved To Me.